Semasa

Tun Dedahkan Pernah Ditawarkan Kekal PM Tapi Bersyarat. Ini Respond Tun M Kepada Kerajaan PN

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui beliau pernah menerima tawaran untuk kekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri, tetapi dengan syarat harus menerajui kerajaan gabungan UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Namun, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, penerimaan tawaran itu membawa maksud beliau harus bekerjasama dengan sekumpulan individu yang beliau bekerja keras untuk tewaskan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.

Selain itu, katanya lagi, ia juga membawa maksud beliau akan mengkhianati kepercayaan majoriti rakyat yang menyokongnya pada PRU lepas, serta memungkiri janji kepada parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak boleh terima cadangan untuk menjadi Perdana Menteri pada gabungan politik yang ‘tidak suci’ ini. Dan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin terima kerjasama itu, saya meninggalkan kumpulannya,” katanya dalam catatan terbaharu di blog beliau, hari ini.

Di awal catatannya, beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional hari ini mempunyai majoriti yang paling tipis, iaitu perbezaan dua kerusi sahaja.

Menerangkan mengapa keadaan itu berlaku, Dr Mahathir berkata, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas tewas pada PRU lepas tahu beliau akan dipenjarakan atas kesalahan yang dilakukan.

“Jadi dia (Najib) telah mencadangkan kepada PAS untuk menubuhkan kerajaan perpaduan Melayu Muslim. Tetapi mereka masih belum cukup sokongan untuk menubuhkan kerajaan. Dia perlukan lebih banyak sokongan Melayu.

“Dia kemudian mendakwa kerajaan PH didominasi DAP, dan DAP akan menghancurkan Melayu. Untuk menjatuhkan DAP, PH perlu dijatuhkan. Dan untuk itu, Bersatu perlu meninggalkan PH, kemudian menyertai UMNO dan PAS untuk tubuhkan kerajaan baharu,” tulis Dr Mahathir lagi.

Beliau berkata, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kemudian cuba mendapatkan ahli UMNO untuk menyokongnya selepas beliau ditawarkan untuk menjadi Perdana Menteri bagi gabungan baharu itu, termasuk sokongan Najib sendiri.

“Saya menentang gerakan ini. Tetapi Muhyiddin menyokong pula idea ini, dan majoriti ahli Bersatu bersetuju dengan beliau.

“Apabila Bersatu tinggalkan PH, maka PH tidak lagi boleh menjadi kerajaan. Ini bermaksud kesemua Menteri kehilangan kedudukan mereka dalam Kabinet. Dan saya juga termasuk sekali. Saya sudah kehilangan kedudukan saya sebagai Perdana Menteri. Peletakan jawatan hanyalah formality,” katanya lagi.

Atas sebab prinsip, Dr Mahathir berkata, beliau bertegas tidak akan menerima tawaran jadi Perdana Menteri bagi gabungan itu.
“Hari ini, keahlian saya dalam Bersatu dan kedudukan sebagai Pengerusi Bersatu telah dilucutkan. Saya telah bawa perkara ini ke Mahkamah untuk mencabar pelucutan saya,” katanya lagi.

Sumber : Astro Awani

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *