Hiburan

Siti Sarah berserah elak rumah tangga diganggu perampas

BAGI mengekalkan kebahagiaan rumah tangga, penyanyi Siti Sarah Raisuddin berkata dia menjaga hubungan dengan Allah dan sentiasa mendoakan yang terbaik dalam perkahwinannya.

Menurut Sarah, sebagai manusia biasa dia hanya mampu bertawakal dan mengharapkan doa yang terbaik untuk memastikan keluarganya kekal bahagia.

“Saya tak dapat nak buat apa-apa sekiranya berlaku… saya anggap ia atas kehendak dan izin dari Allah, saya tak boleh nak kawal suami cuma yang saya boleh buat menjaga hubungan dengan Allah.

“Saya hanya harapkan Allah berikan yang terbaik untuk rumah tangga saya. Itu adalah sebaik-baiknya!, ” katanya.

Siti Sarah berkahwin dengan pelawak Shuib pada 2011 dan dikurniakan tiga anak iaitu Uwais Al Qarni, Dzakira Talita Zahra dan Ariq Matin.

Golongan ‘gold digger’ buat Shuib elak baca mesej di media sosial – “Saya bukan alim sangat tapi selalu ingat pesan emak!”

PELAWAK dan ahli perniagaan Shuib menyedari kewujudan golongan wanita yang gemar mengambil kesempatan serta mempergunakan lelaki kaya sebagai lubuk emas untuk kepentingan peribadi.

Enggan terpalit dengan kontroversi yang boleh memusnahkan rumah tangga itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 35, berkata dia cuba mengelakkan diri daripada terjerumus dalam hubungan terlarang itu.

“Saya sedar kewujudan wanita yang digelar kaki kikis ini dan dalam situasi sekarang ini dugaan memang hebat lebih-lebih lagi sebagai ahli perniagaan.

“Saya memang cuba elakkan diri supaya tidak menerima dugaan begitu… tapi kalau nak cerita fasal dugaan ini bukan orang jahat sahaja kena, orang baik pun boleh diuji, apa-apa pun semua bergantung pada kita macam mana nak menahan.

“Saya beruntung sebab dikelilingi pelbagai jenis kenalan dan pernah lihat kawan yang terbabit dalam hal ini, jadi saya boleh tengok sendiri apa buruknya jika kearah itu… kita boleh nilai sendiri,” katanya kepada mStar.

Shuib berkata demikian ketika ditemui di pelancaran lagu Teh Terakhirku dan majlis pembukaan cawangan kafe Bubblebee di The Strand, Kota Damansara pada Selasa.

Teh Terakhirku merupakan lagu terbaharu nyanyian Shuib bersama Mark Adam dan Zynakal.

Sementara itu, Shuib berkata kebanyakan golongan wanita ini menggunakan media sosial sebagai platform untuk mencapai matlamat mereka.

Justeru itu, dia mengambil pendekatan mengelakkan diri daripada membaca sebarang mesej peribadi yang diterima di laman tersebut.

“Kita pun dah biasa tengok video dan prank macam mana mereka ambil kesempatan terhadap orang kaya, kalau kita dah tahu jadi lebih baik elakkan daripada terjebak.

“Antara punca lelaki terjebak dalam hal ini kerana laman sosial… sebabnya ramai gold digger memburu lelaki menerusi platform tersebut.

“Kita dah tahu dalam itu ada harimau, takkan kita nak cuba masuk! Alhamdulillah buat masa ini tiada lagi gangguan dan saya pun tak buka atau layan mesej di Instagram,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shuib berkata dia sentiasa berpegang kepada pesanan ibunya yang berharap dia tidak alpa dan leka dengan kekayaan dunia.

“Saya pun bukanlah alim sangat tapi sentiasa beringat… emak saya selalu pesan kalau duit dah banyak jangan lupa orang yang bersama kita.

“Dari situ saya sedar kalau saya salah langkah saya akan hilang orang yang saya sayang kerana apa yang saya miliki ini hasil doa mereka.

“Saya hanya mampu berdoa Allah makbulkan permintaan saya untuk kekal bersama isteri dan anak-anak selamanya… walaupun jodoh dan ajal ini kita tak boleh nak duga, cuma saya mampu berdoa kekalkan apa yang saya ada hari ini,” katanya.

Shuib dan penyanyi Siti Sarah Raissuddin berkahwin pada 2011 dan dikurniakan tiga anak iaitu Uwais Al Qarni, Dzakira Talita Zahra dan Ariq Matin.

Sumber : m star

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *