Keluarga

Peluk Pusara Ibu. Afiq berkelakuan lain daripada biasa

“SAYU hati apabila Afiq meminta saya membawanya ke pusara ibunya,” kata Wan Fatin Hanani Mohd Fauzai, 28.

Perkongsian sekeping gambar anak saudaranya Muhammad Afiq Akhtar Mohamad Nasuha, 11, yang memeluk pusara ibunya ternyata mengundang rasa hiba oleh orang ramai.

Menurut Fatin, Afiq adalah anak autisme yang kehilangan ibu akibat kemalangan jalan raya.

“Kakak saya meninggal pada Ramadan tahun 2013 ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja. Kemalangan jalan raya itu membabitkan kereta dan lori tangki minyak.

“Masa itu Afiq baru sahaja berumur empat tahun manakala adiknya pula dua tahun. Sekarang sudah tujuh tahun berlalu.

“Afiq, adik dan ayahnya memang menetap bersama keluarga saya di Tumpat, Kelantan. Jadi saya senang untuk berjumpa dengannya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai gambar itu, Fatin berkata, Afiq meminta untuk dibawa ke pusara ibunya yang dipanggil umi.

“Kebiasaannya jika dia rindukan arwah uminya, saya akan membawa ke pusara atas permintaan.

“Sebelum tidur lagi dia dah minta supaya membawanya ke sana. Keesokan paginya iaitu 5 Jun, lepas dia siap mandi, dia terus ajak saya ke kubur.

“Saya memang selalu akan merakam setiap kelakuannya. Tetapi hari itu, Afiq berkelakuan lain daripada biasa. Dia diam sahaja sebelum memeluk batu nisan pusara uminya. Jadi waktu itu saya rakam untuk ditunjukkan kepada mak ayah saya,” katanya.

Menurut guru pendidikan sejarah itu, Afiq sering bertanya soalan mengenai ibunya.

“Dia berbeza sedikit dengan adiknya. Kalau adik jenis pendam perasaan. Afiq pula jenis yang akan bertanya jika rindukan ibunya itu.

“Ada sekali dia bertanya kenapa umi meninggal atau mana uminya pergi. Pertanyaan dia selalu buat kami sekeluarga sayu terutamanya ibu dan bapa saya,” katanya.

Menurut Fatin, Afiq yang kini belajar di sekolah pendidikan khas itu masih lagi ingat pesanan terakhir ibunya.

“Uminya pernah berpesan kalau ada bulan Afiq perlu tidur. Sampai sekarang dia masih ingat pesanan itu.

“Afiq juga sangat trauma dengan kemalangan. Kalau tengok kemalangan masa awal-awal umi dia meninggal, dia (tubuh) menggigil,” katanya.

Katanya, dia tidak menyangka perkongsiannya di Facebook Autisme Malaysia mengenai Afiq itu mendapat perhatian ramai.

Tambahnya, cucu sulung dalam keluarganya itu merupakan seorang anak yang sangat ceria.

“Afiq seorang yang sangat ceria dan manja. Dia juga seorang yang mudah tersentuh,” katanya.

Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *