Semasa

P0Iis menyamar jadi orang awam burv pesaIah langgar SOP

Polis Kelantan menugaskan anggota berpakaian preman ketika pemantauan bagi mengenal pasti individu atau premis tidak mematuhi prosedur standard operasi (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ia sebagai strategi di bawah kumpulan Task Force terhadap segelintir masyarakat tidak mengambil peduli tentang SOP semasa ketiadaan anggota bertugas.

Beliau berkata, jumlah anggota ditambah untuk menjalankan kawalan serta pemantauan terutama selepas kerajaan mengumumkan beberapa kelonggaran berkuat kuasa hari ini.

“Selain itu, banyak perniagaan lain dibuka, jadi bagi mengelak peniaga atau pengunjung mengambil kesempatan, pihak polis terlebih dahulu memasang strategi kerana kita belum menang dalam melawan wabak Covid-19.

“Biasanya segelintir masyarakat yang tidak mengikut arahan ini hanya memakai pelitup muka apabila melihat kedatangan polis. Nak buka sekejap tidak mengapa kerana kita faham rasa tidak selesa, tetapi perlu tahu ia wajib dipakai ketika tempoh ini.

“Polis akan terus mempertingkatkan kawalan dan pemantauan terutama di kawasan tumpuan orang ramai agar masyarakat terus mematuhi SOP demi kebaikan bersama,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi pesara polis, Mohd Ariffin Hussin, 63, di Kampung Pondok Banggol Kemunting, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah dan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan, Zainuddin Md Yusuf.

Shafien berkata, lawatan terbabit antara program Ziarah Prihatin membabitkan kunjungan ke rumah pesara polis di seluruh Kelantan yang turut menerima sumbangan daripada tabung polis disediakan.

“Selain itu, ia antara inisiatif pihak kami mencari golongan pesara layak berdaftar dalam e-Pesara PDRM bagi menerima bantuan One Off sebanyak RM500.

“Setakat ini, di seluruh Kelantan, kami menerima 2,632 pendaftaran dan jumlah dijangka bertambah lagi, selain satu kumpulan khas diwujudkan yang bertanggungjawab terus ke rumah pesara bagi membantu proses pendaftaran,” katanya.

Sumber : hm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *