Semasa

Adakah Rakyat Sudah Bersedia Untuk PKP. Menteri Ismail Sabri Tampil Untuk Beritahu Apa Yang Akan Terjadi

Tanda tanya sama ada negara akan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 bakal diketahui Isnin ini kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dijangka akan membuat pengumuman berhubung perkara itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ramai rakyat yang sudah menularkan bahawa kerajaan akan melaksanakan sesuatu yang lebih ketat.

“Kerajaan sentiasa dengar rintihan dan pandangan rakyat dan kita sedang mempertimbangkan.

“Insya-ALLAH apa-apa nanti akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada Isnin nanti. Jadi kita tunggulah apa yang akan diumumkan dan bersesia dengan pengumuman itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media PKP Pemulihan(PKPP)/PKP Bersyarat (PKPB) pada Jumaat.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilaksanakan semula bagi mengawal penularan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Perkara itu disuarakan orang awam ketika Sinar Harian melakukan tinjauan di lapangan yang meluahkan kekhuatiran dengan situasi pandemik itu di negara ini.

Rosdi Abd Rashid, 57, berkata, PKP perlu dilaksanakan di seluruh negara selepas PKP Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa negeri dilihat tidak berjaya mengawal penularan Covid-19 secara menyeluruh khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Saya sangat setuju PKP dilaksanakan kerana rakyat tidak berdisiplin dan sukar untuk mengawal penjarakkan sosial selain penguatkuasaan yang kurang efektif.

“Ekonomi memang akan terkesan tapi kerajaan perlu buat pilihan yang manakah yang lebih penting sama ada ekonomi atau nyawa orang?” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Cadangan itu turut dipersetujui oleh seorang pekerja swasta, Mohd Noor Zee Othman, 50, yang turut meminta supaya kerajaan mempertimbang agar perkara itu dapat dilaksanakan secara bersasar di negeri-negeri yang mencatatkan kes yang tinggi.

“PKP dilihat berkesan mengawal Covid-19 namun dalam keadaan sekarang pelaksanaannya mungkin kurang sesuai. Ini kerana ramai yang hilang pekerjaan dan kerajaan sendiri belum tentu mampu untuk bantu menampung bebanan rakyat.

“Jadi saya cadangkan buat PKP bersasar mengikut lokaliti yang berada dalam zon merah. Saya juga harap pelaksanaan larangan rentas negeri juga dapat dilaksanakan semula kerana ia dilihat menyumbang kepada peningkatan kes,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia berharap sekolah dibenarkan beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan.

“Wajibkan pemakaian pelindung muka (face shield) atau pelitup muka sepenuhnya sepanjang berada di dalam kawasan dan luar sekolah.

“Saya risau jika sekolah dibiarkan terus ditutup, ini akan memberikan kesan kepada anak-anak, tahun 2020 mereka dah banyak ketinggalan, jika diteruskan pada tahun ini, ia akan jejaskan sistem pembelajaran mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Suriana Jaafar, 40, berkata, dia mahu PKP dilaksanakan walaupun bakal hilang pendapatan kerana keutamaannya mahu Covid-19 dapat dikawal.

“Masa PKP lalu pun memang saya tak meniaga selama tiga bulan. Saya akan akur jika sekali lagi PKP dilaksanakan.

“Cuma kalau boleh PKP jangan terlalu lama, dua minggu cukup untuk putuskan rantaian jangkitan. Insya-ALLAH jika dua minggu atau sebulan PKP dilaksanakan, kami mampu bertahan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *